Warkah Untuk Muslimat Sempena KAWAN'09


Saya bukanlah siapa-siapa di dalam PMI mahupun persatuan-persatuan lain di UTM, namun saya rasa terpanggil untuk mengambil kesempatan bagi meluahkan pandangan sempena penganjuran Karnival Wanita 2009 ini.

Pertama kali mendapat makluman mengenai Karnival Wanita, timbul rasa kagum saya terhadap kemampuan golongan Hawa khususnya Muslimat dalam menganjurkan karnival ini. Tetapi timbul pula cadangan daripada sahabat-sahabat muslimin lain untuk menganjurkan Karnival Lelaki (KAKI) bagi mengimbangi kesaksamaan genre yang berbeza.

Bagi saya, perkara sebegini tidak perlu timbul kerana Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang tidak berbeza dari lelaki. Yang membezakan keduanya di sisi Allah SWT, seperti juga lelaki membezakan antara lelaki dengan lelaki yang lain ialah tahap taqwa masing-masing kepada Allah SWT. Firman Allah SWT : 
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
[Al-Hujurat:13]
Akan tetapi, haruslah diingat bahawa di sana ada terdapat beberapa perbezaan semulajadi antara lelaki dan wanita khususnya dari aspek biologi. Pujangga ada menyatakan bahawa "Wanita  bukan separuh daripada lelaki, mereka cuma berbeza".

Perbezaan ini tidaklah bermakna ia merendahkan kedudukan dan sumbangan golongan Hawa terhadap masyarakat.  Janganlah kita lupa bahawa manusia pertama yang syahid di jalan Allah SWT adalah seorang wanita, Sumayyah RA, yang memberi makan secara sembunyi semasa penghijrahan Nabi SAW juga seorang wanita iaitu Asma' binti Abu Bakar RA.

Oleh itu, dalam mendepani tuntutan dakwah dan cabaran semasa, keterlibatan muslimat adalah amat mustahak dan kritikal. Kepentingan penglibatan muslimat adalah amat menekan lagi mutakhir ini, jesteru kerana dalam beberapa aspek, serangan musuh dan seteru  Islam ini, hanya mampu ditangani dengan lebih berkesan lagi oleh golongan muslimat sendiri.

Keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan mahasiswa khususnya golongan mashasiswi amat merunsingkan. Perancangan musuh Islam untuk merosakkan umat amatlah rapi. Pelbagai cara dilakukan termasuklah serangan pemikiran tentang hak 'Kesamarataan' golongan Feminis, penerapan budaya Hedonisme dan pergaulan bebas amat sukar dibendung.

Muslimat perlu terus bersedia meningkatkan diri menghadapi cabaran semasa kampus. Sayurgia saya ingatkan bahawa sifat sabar perlulah menjadi kekuatan Muslimat, malahan kita semua, kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Seorang mukmin yang melibatkan dirinya dengan masyarakat dengan segala karenah mereka lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak mahu bergaul dengan manusia dan tidak pula bersabar dengan karenah mereka."
Saya mendoakan semoga usaha menganjurkan Karnival Wanita 2009 (KAWAN'09) mendapat barakah dan diberi pertolongan daripada Allah SWT. Semoga usaha dakwah dan kesedaran terhadap keistimewaan wanita dalam Islam diberi kemudahan.

Mohd Ainuddin bin Khairuddin
Mahasiswa Jurusan Senibina 
Fakulti Alam Bina 
Universiti Teknologi Malaysia

Comments

No responses to “Warkah Untuk Muslimat Sempena KAWAN'09”

Catat Ulasan