Kisah Berita Palsu

nama yang sama cetus kekeliruan

Tergelak saya sendirian mengenangkan kisah kelmarin apabila berita palsu yang saya terima dari seorang junior telah saya sebarkan dengan berleluasa. Malah banyak juga soalan yang saya terima daripada sahabat-sahabat yang menginginkan kesahihan dan kepastian mengenai berita yang saya bawakan.

Terima Berita

Semuanya bermula tanggal 27 Ogos 2009 jam 10.59 malam bertempat di studio environmental Fakulti Alam Bina. Ketika itu saya sedang asyik melayari blog sahabat-sahabat. Telefon bimbit saya berbunyi menandakan mesej tiba.
Alfatihah untk ustaz ismail kamus yg baru menemui Allah sbntr td...satu khlngan bsr buat agama dan ngara.Alfatihah..smg Allah m'cucuri rhmat kpdnya.Tlg fwd sma2

Terkesima seketika saya membaca mesej tersebut. Baru siang tadi saya membaca di blog promahasiswautm mengenai pemergian Senator Datuk Dr. Ismail Md Salleh yang telah meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura. Adakah ini merupakan satu kebetulan?

Saya masih belum mendapatkan kepastian. Mesej yang tertera tidak menunjukkan nama pengirim. Di situ hanya tertera numbor telefon pengirim. Saya segera bertanyakan tentang diri si pengirim. Rupanya beliau merupakan seorang ahli Keluarga Exco Kerohanian yang baru di Kolej.

Berberita Di Facebook

Oleh kerana terlalu percaya kepada si penyampai berita tersebut, saya terlupa untuk bertanyakan mengenai kesahihaan berita tersebut. Kerana rasa bertanggung jawab untuk menyambaikan berita tersebut, saya segera mem'forward'kan mesej tersebut kepada sahabat-sahabat. Antara lainnya, saya juga telah menyampaikan berita tersebut melalui status di facebook. Namun, di facebook jugalah yang telah menyedarkan saya tentang kesahihan berita tersebut.

Sanggahan pertama saya terima dari akhi Ismail. "berita palsu...". Kemudian akhi Qayyum tampil dengan beberapa dalil. Antaranya dilampirkan juga berita yang dipetik dari akhbar Utusan Online tentang kenyataan dari keluarga Ismail Kamus yang menolak khabar angin tersebut.

Panggilan Orang Rumah

Ketika sedang kyusuk meneliti bukti-bukti yang dikemukakan, ketika itu jugalah telefon ini berdering. Kali ini bukanlah satu mesej tapi satu panggilan khas dari bonda tersayang di kampung. Segera saya jawab panggilan tersebut.

Ternyata panggilan tersebut ada kaitannnya dengan topik perbincangan saya di facebook. Panggilan tersebut dibuat bagi menyampaikan "berita palsu" pemergian Ustaz Ismail Kamus. Bonda meminta saya menyedekahkan surah al-fatihah kepada roh beliau. Saya cuba menerangkan keadaan sebenar namun seperti terhalang. Saya fikir mungkin saya akan menerangkan hal sebenar ketika tiba di rumah nanti.

Di Rumah

Kebetulan minggu ini saya pulang ke rumah. Sekiranya di kampus saya jarang membaca surat khabar namun bukan di rumah. Hari ini saya membaca akhbar Sinar Harian. Saya menyelak helaian demi helaian. Mata saya terpaku seketika pada tajuk satu berita, "Berita Ismail Kamus Meningga Dunia Palsu". Selepas membaca berita tersebut saya telah yakin bahawa berita yang telah saya terima dan saya sebarkan merupakan BERITA PALSU.

Melalui peristiwa tersebut, kini InsyaAllah saya akan lebih berhati-hati dalam menerima sebarang berita dan akan memastikan kesahihan berita tersebut sebelum disampaikan kepada orang lain agar berita yang saya bawakan bukanlah merupakan satu fitnah.

Renungan
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujraat : 6]
Mohd Ainuddin bin Khairuddin
Mahasiswa Jurusan Senibina
Fakulti Alam Bina
Universiti Teknologi Malaysia

Comments

3 Responses to “Kisah Berita Palsu”

Unknown berkata...
30 Ogos 2009 pada 1:47 PTG

Salam...
Sentiasa peka dengan persekitaran sekeliling...

panod berkata...
30 Ogos 2009 pada 3:59 PTG

Wassalam..
sudah cube untuk jadi peka
namun tersalah peka pada yang nista...

honeymyst396 berkata...
3 September 2009 pada 12:33 PG

salam =)
yeah....tat news was spreading like pisang goreng...
ma dad oso got tat msg...
then, same day...bru taw 2 slah...

"it was all heard from d grape vine.."

Catat Ulasan