Sisi Positif Lagu Oh Bangau

Di tadika, aku diajar lagu-lagu rakyat. Sesuai dengan umur aku. Dari lagu enjit-enjit semut, lagu tiga kupang hinggalah ke bapaku pulang. Semua itu menjadi hiburan dan permainan aku selain kartun Masked Rider dan Ultraman. Seingat aku, lagu-lagu ini diajar hingga ke darjah 3 dalam mata pelajaran muzik.

Antara lagu yang kerap menjadi siulan aku waktu itu adalah lagu Bangau Oh Bangau. Ianya tertulis dalam buku Koleksi Lagu-lagu Rakyat, antara bahan bacaan aku semasa kecil selain buku-buku cerita rakyat.

Lupakah kita dengan bait-bait lagu ini?:

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?

Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.




TUNDING JARI

Hampir sekalian alam tahu bahawa lagu ini merupakan refleksi terhadap sikap masyarakat yang sering menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.

Bangau yang kurus menyalahkan ikan kerana tidak mahu timbul. Ikan yang tidak mahu timbul pula menyalahkan rumput yang panjang. Sehinggalah akhirnya lagu ini tamat pada babak melibatkan si ular yang memakan katak kerana memang ia merupakan makanannya.

Dalam segala hal, dari sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar perkara, masyarakat akan menunding kesalahan kepada yang lain agar diri terasa sempurna. Ironinya, ia hanya ditunding andai bala yang menimpa dan bukan pada nikmat yang dikecapi.

Bengitulah keadaannya lagu ini. Semakin dialun, semakin terasa kebodohan masyarakat bahkan diri sendiri.

ROOT CAUSE

Dalam memanfaatkan segala yang ada, wajarlah untuk aku melihat kepada permata berharga yang tersimpan di dalam senikata lagu ini.

Di sebalik keburukannya, tidakkah kita sedar bahawa lagu ini selain menyedarkan kita sikap buruk 'tunding jari' yang diamalkan masyarakat, ia turut mengajar kita untuk menyelesaikan masalah?

Dalam segala permasalahan yang kita hadapi, jangan kita tergopoh menyelesaikannya kerana andai tersalah, bakal menjadikan kita seperti tikus membaiki labu. Bukan menyelamat, bahkan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Seeloknya kita pelajari dari lagu ini yang mengajar kita mengenal pasti punca sebenar sesuatu masalah agar kita dapat memilih tindakan yang sebaiknya untuk menghadapi masalah tersebut.

Perlukah kita menghantar motor yang mati di tengah jalan ke kedai untuk membuat 'top over-haul' sedangkan motor kita hanya kehabisan petrol?

Dengan mengetahui punca sesuatu masalah, tidaklah kita tertipu dengan kebodohan diri sendiri sehingga perlu memperuntukkan kos yang tinggi sedang ia mampu diselesaikan dengan cara yang paling mudah.

Panod
Jenderam Hulu
31 Januari 2012 - 2.45am

Lencongan Sejarah : 1515

Telah aku beli novel ini dahulu. Aku hanya sempat membaca sebahagian dek kesibukan. Telah aku serahkan novel ini kepada seorang rakan namun terlupa kepada siapa. Kini, aku beli semula novel 1515 karya Faisal Tehrani untuk menyempurnakan pembacaan.

Sebuah novel fiksi sejarah yang menyingkap kembali era kejatuhan Empayar Islam Melaka yang menjadi pusat penyebaran ilmu di alam Nusantara ketika itu. Melalui perantara watak Adi Fimiyun yang berhubung entah bagaimana dengan oyangnya Nyemah Mulya wirawati Melaka.


DUA VERSI

Menariknya novel ini apabila Faisal membawakan dua sisi berbeza kedatangan Feringgi ke Alam Melayu. Kisah Melaka yang alah apabila diserang Feringgi dan Melaka yang diselamatkan oleh Nyemah Mulya dan membawa kepada kewujudan Kerajaan Melayu Islam Dinasti Mulya di Portugal.

Bukan sahaja menyingkap sejarah yang terzahir, malah melucutkan pemadaman sejarah oleh pihak penjajah.

FAKTOR KEJATUHAN

Kelalaian pemerintah yang tidak lagi berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar selain pengamalan maksiat oleh pemerintah membawa bencana besar untuk negeri berdaulat Melaka.

"Melaka nyanyuk kerana hiburan, zina, gejala sosial yang meruntuhkan dan itu semua menjadi tunjang kerajaan Melaka. Itulah yang menjerumuskan Melaka ke dalam kemusnahan. Jika Tuhan menghantar Genghiz Khan untuk menghukum kerajaan Abbasiyyah di Baghdad, begitulah Tuhan telah menghantarkan Albuquerque sebagai malaikat maut kepada Melaka"



Kejayaan Feringgi menakluk Goa tidak menyedarkan Sultan Mahmud sedikit pun untuk memperkuat benteng pertahanan negeri dari dinodai wizurai barat. Kecelaruan dalam menerima nasihat dari pembesar-pembesar negeri menjerat Sultan untuk mengambil langkah tidak bijak.

Nina Chattu merupakan sosok penting yang mendurjanakan negeri. Bak pancing memakan umpan, beliau merupakan posman yang bertanggungjawab menghubungkan Ruy de Araujo dengan wizurai Albuquerque menerangkan selok belok keadaan Melaka.

ANGKATAN PERANG NUSANTARA

Idea yang tak terfikir oleh orang Melayu ketika itu dan tak terlaksana sehingga kini untuk menubuhkan angkatan perang Nusantara. Alam Melayu yang luas dan berbilang kerajaan ketika itu bukan sahaja dihubungkan dengan bangsa, malah turut dikuatkan dengan Aqidah yang sama.

Tun Nyemah Sayyidah Mulya mengemparkan istana dengan cadangan gila menubuhkan angkatan perang Nusantara untuk menakluki Portugal.

"Sebelum dia mulai lebih molek kita sendiri pergi ke sana menunjuk muka dan memesan supaya hapuskan sahaja hasrat hati kerana bangsa yang diam di Tanah Melayu ini meski sopan baik berjiwa besar dan boleh menakluk dunia"


SIAP SIAGA

Nyemah diajar ilmu agama malah turut dihantar ke Makkah untuk mendalaminya. Sesudah itu diajar pula ilmu silat dengan pelbagai disiplin sehingga mahir akan semuanya. Keluarga Mulya turut membina rumah besar di puncak Bukit Peringgit. Rumah itu kelak menjadi madarasah mendidik anak-anak muda akan ilmu agama dan ilmu persilatan.

Anak-anak ajah dibeli oleh batin-batin sakai, diternak di kaki Bukit Peringgit dan diberi makan secukupnya agar gajah kelak menjadi gemuk dan kuat bertahan dari apa-apa serangan.

HARGAI ANAK MUDA

Sifat pribumi Melayu feudal ke masyarakat jelas masih gagal menerima peranan anak muda yang besar kebolehannya. Dalam perbualan Nyemah dan Albuquerque, caesar timur itu mendedahkan kesempitan pemikiran masyarakat melayu yang mengenepikan peranan orang muda seperti Nyemah.

"Orang Melayu Nyemah, bangsa yang bijak tapi mereka tidak menggunakan akal dan mereka tak melihat kemampuan dan bakat yang ada pada anak muda. Mereka fikir orang tua seperti tua, lebih lama lebih sedap, tapi aku fikir orang muda seperti kelapa muda, banyak guna."

Namun sehingga kini, anak muda masih dianggap tidak matang dan tidak boleh memimpin. Sekatan demi sekatan dibuat bagi menghalang anak muda bersuara. Anak muda bebas untuk berhibur asalkan tidak menggangu pemerintah.

Panod
Jenderam Hulu
29 Januari 2012- 4.00am

Kerana Kemerdekaan?


Aku membaca tentang kemerdekaan di buku teks sekolah dan buku-buku sejarah. Aku tonton filem 1957 Hati Malaya. Aku juga tonton '10 tahun sebelum merdeka'. Aku tertarik dengan suasana menjelang kemerdekaan. Aku tertarik untuk tahu bagaimana kita merdeka. Makin aku teliti, makin aku tak faham. Beberapa perkara yang masih aku fikir tidak kena tentang kemerdekaan kita.

1. Kenapa Tunku seakan tergesa inginkan kemerdekaan sedangkan wakil majlis raja2 berpendapat rakyat masih belum bersedia?

2. Kenapa British dengan mudah menerima permohonan kemerdekaan daripada Tunku sedangkan ungkapan 'merdeka' telah lama dilaung oleh pejuang PKMM sejak 1945?

3. Kenapa Tunku bersetuju agar Perlembagaan Tanah Melayu ditulis oleh orang luar (Suruhanjaya Reid)?

4. Apakah benar Dato' Onn adalah pengkhianat bangsa dan tali-barut penjajah seperti yang dituduh oleh UMNO dahulu?

5. Kenapa Tunku menaiki kapal laut dan singgah di Colombo, Ceylon (kini Sri Lanka) sebelum menaiki kapal terbang ke London semasa rombongan menuntut kemerdekaan? Apa yang dibincang Tunku dengan wakil raja-raja yang tidak sependapat dengan Tunku tentang idea kemerdekaan di sana?

6. Apa akan terjadi sekiranya kemerdekaan ditangguh?

7. Apakah perancangan Dato' Onn terhadap kemerdekaan Tanah Melayu?

Banyak lagi persoalan tentang kemerdekaan di kepala aku. Aku masih mencari erti kemerdekaan yang diinginkan oleh pejuang kemerdekaan dahulu. Aku masih cuba memahami sosio-politik masyarakat Tanah Melayu waktu itu.

Panod
Jenderam Hulu
24 Januari 2012- 3.00am

Said Ibrahim Mufti Yang Tegas




Said Ibrahim merupakan seorang ulama’ nusantara yang disegani. Beliau pernah mengajar di pondok Tok Kenali Kelantan, madrasah al- Hidayah Singapura dan Sekolah Menengah Arab Hasanal Bolkiah Brunei selain menjadi Imam Masjid Negara dan Mufti di negeri Sabah.

Beliau dilahirkan di Kampung Kedai Lalat, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di pondok di Jambi Indonesia. Kemudian beliau merantau jauh ke Kota suci Makkah al-Mukarramah untuk mendalami ilmu agama.


Pelaksanaan Hudud

Dalam sebuah forum sambutan Hari Hudud di Kota Bharu, Haji Said telah menempelak golongan yang memberi alasan akan berlaku huru hara sekiranya dilaksanakan Hudud dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Beliau berkata “Ini bukan alasan tetapi andaian kerana mengatakan sesuatu yang belum terjadi. Jangan buat andaian dan agak-agak terhadap hukum Islam”

Beliau menyifatkan keadaan ini berlaku sebagai kejayaan orang Kristian melemahkan umat Islam melalui pengalaman melalui kekalahan mereka dalam perang Salib selama lebih 190 tahun.

“Akibatnya kita dapati orang Melayu Islam takut tersilap apabila menjalankan rukun solat, puasa dan haji tetapi apabila disuruh leksanakan hudud mereka berani sekali menentang,” tegas Haji Said.

Memerangi Golongan Antihadis

Setelah penerbitan buku Hadith Suatu Penilaian Semula oleh Kassim Ahmad pada tahun 1986, Haji Said yang mengakui kesarjanaan Kassim Ahmad namun menolak hujah beliau terhadap hadis dan sunah telah menulis sebuah buku kerana baginya dalam amalan dan adab kesarjanaan hujah mesti disambut dengan hujah, buku dengan buku.

Buku Said berjudul Penolakan Terhadap Penilaian Semula Hadis diterbitkan pada 1987. Beliau telah mempertahankan pentafsiran Imam Syafie berkenaan perkataan “al-Hikmah” dalam al-Quran (2/29) sebagai hadis dan sunah selain menerangkan konsep al-Rasul dalam ayat ke-4 surah al-Hasyr yang didakwa Kasim sebagai sekadar pembawa risalah.

Menangani Gejala Murtad

Sikap Haji Said terhadap gejala murtad dapat di lihat dengan jelas dalam bukunya yang bertajuk Kitab Kanun Jinayah Syari’yah. Menurut beliau, sebarang perkataan yang jelas membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) terhadap orang yang mengucapkannya. Beliau berhujah dengan firman Allah:

قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَہۡزِءُونَ (٦٥) لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَـٰنِكُمۡ‌ۚ

Maksudnya:
Petutkah nama Allah dan ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), (kerana) seseungguhnya kemu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman... [at-Taubah:65-66]

Haji Said amat sedar bahawa menyekat mereka yang murtad daripada mencabut status keislaman mereka dalam kad pengenalan bukanlah sesuatu yang berkesan dalam menghadapi golongan ini malah kejayaan yang sebenar adalah dengan mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara redha dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.

Pengiktirafan

Beliau telah dilantik menjadi Karyawan Tamu di Fakulti Pengajian Islam UKM (1992-93) dan di sana beliau telah menjiapkan beberapa penyelidikan antaranya Dasar Pembinaan Hukum Islam; Mazhab yang muktabar; Kanun Jenayah Sya’riah dan Sistem Pengadilannya Dalam Islam.

Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan Haji Said Ijazah Sarjana Kehormat Pengajian Islam dalam majlis konvokesyen ke-29 universiti itu pada bulan Ogos 2001. Tidak lama selepas itu beliau jatuh sakit. Beliau telah mewasiatkan keseluruhan 527 buah buku terdiri daripada koleksi kitab-kitab dan bukunya ke Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM.

Haji Said meninggal dunia pada 1.10 pada 22 Disember 2001 dan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Ibu Kota pada hari yang sama.

Panod
Jenderam Hulu
19 Januari 2012 - 4.30am

Perihal Oxford Bandar Keilmuan

Bandar Oxford penuh dengan aktiviti ilmu di sana-sini setiap hari; seminar, diskusi, forum dan pelbagai. Dalam pelbagai perkara dan bidang, yang mungkin sebahagiannya terlarang dalam negara kita disebabkan unsur ke’jais’an kita. Amat rugi jika ada sesiapa yang datang ke sini tetapi tidak mengambil peduli tentang aktiviti ilmu yang pesat.

Dari bangunan-bangunan bersejarah yang memenuhi bandar ini, kita dapat tahu bahawa di sini asalnya tempat pengajian Kristian. Sejak kurun ke-12, Oxford berkembang menjadi bandar ilmu. Ini terutama selepas tahun 1167 apabila Henry II melarang pelajar Inggeris melawat universiti di Paris.


Pada kurun ke-13 bandar ini mula pesat dengan para penuntut ilmu. Antara tahun 1249 dan 1280 diasaskan universiti kolej yang tertua di sini; Merton dan Balliol. Ertinya bandar ini telah berkembang menjadi bandar ilmu sejak 800 tahun yang lalu.

Dibakar hidup-hidup

Dalam tempoh yang panjang itu, Oxford melalui pelbagai sejarah. Agama Kristian yang menjadi teras pegangan dan pembinaan pusat pengajian di sini telah terbabit dalam pelbagai konflik politik dan agama. Permusuhan dan pembunuhan berlaku dengan dahsyat sepanjang tersebut. Sehingga amalan kristianiti pun luntur di sini.

Di atas jalan Broad Street ada tanda yang dibuat mengenang ‘shuhada’ Oxford atau Oxford Martyrs yang dibakar hidup-hidup.

Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer. Mereka semua merupakan tiga orang paderi dan ilmuwan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16.

Mereka telah mengkritik ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik yang dianggap tiada asas dalil yang sah dalam Bible. Terpengaruh dengan Martin Luther pengasas Protestan, mereka juga telah menulis pelbagai buku mengkritik amalan dan penghayatan agama yang diamalkan oleh pihak gereja Katholik.

Seperti Luther, mereka berusaha agar agama Kristian tiada menjadi agama eksklusif untuk para paderi sahaja. Mereka menulis dan membahaskan pelbagai isu dalam ajaran Katholik yang mereka anggap tidak berasas.

Walaupun mereka berkelulusan tinggi dari pusat-pusat pengajian teologi, diangkat memegang pelbagai kedudukan tinggi dalam ranking gereja seperti archbishop dan bishop, namun atas sikap anti-pembaharuan dan enggan mendengar pandangan lain yang berbeza, pihak mahkamah agama Katholik telah menghukum mereka sebagai heresy (murtad) dan derhaka (treason) kepada Ratu. Mereka dibakar hidup-hidup di khalayak ramai di Oxford pada tahun 1555 dan 1556.

Pengorbanan hebat

Sebenarnya, dalam sejarah gereja Katholik, begitu ramai yang dibakar oleh pihak gereja atas tuduhan murtad dan derhaka. Pihak gereja akan menggunakan nama Tuhan dan istana atas tuduhan murtad dan derhaka untuk menghukum para penentang mereka.

pope benedict visit palestine israel 110509 04Pihak Katholik juga ada privy council atau badan rahsia yang boleh menjadi kata putus. Pihak istana dalam usaha menjaga kepentingan dan kuasa mereka, maka akur atas segala tuduhan dan keputusan yang dibuat oleh pihak gereja terhadap musuh-musuh mereka.

Golongan pembaharuan dalam Kristian terpaksa melalui pengorbanan yang terlalu hebat. Hukuman yang selalu mereka pakai kepada orang murtad ialah dibakar hidup-hidup cara pembakaran yang menyakitkan dan kejam.

Persoalannya, benarkah murtad, ataupun murtad itu hanya menurut ukuran mereka yang jumud dan mempunyai kepentingan sendiri? Semua tokoh-tokoh yang dibakar hidup-hidup itu tetap memanggil Tuhan sehingga ke akhir hayat.

Cumanya, mereka enggan mengakui beberapa kepercayaan dan amalan Katholik yang mereka anggap tidak bersumberkan Bible. Pihak penentang pembaharuan sering menggunakan nama Jesus dan Istana. Padahal mereka bukan mempertahankan istana atau Jesus, mereka mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai golongan agama.

Bimbang Bible diterjemahkan

Mereka menentang usaha pembaharuan menterjemahkan Bible yang berbahasa Latin ke dalam bahasa Inggeris. Mereka bimbang orang lain dapat menilai dan menembusi maklumat agama yang akhir menyebabkan mereka dipersoalkan.

Hari ini Oxford terus wujud. Namun, mereka yang dibakar dan dituduh murtad itu dikenang sebagai wira dan syahid oleh generasi kemudian. Demikianlah penilaian terhadap fakta sejarah selalu berubah dengan berubahnya cara fikir manusia.


Wira boleh menjadi derhaka, derhaka pula boleh juga menjadi wira. Seseorang yang dihukum pada suatu masa, mungkin dihargai pada masa yang lain. Kemungkinan juga seseorang yang dihargai kini, akan dihukum pada masa yang akan datang.

Sebab itu setiap kita hendaklah berpegang kepada asas-asas kebenaran yang disepakati oleh ad-din dan manusia sejagat. Bukan berpegang kepada sesuatu yang bersifat politik dan isu semata.

Walaupun begitu dahsyat dan kejam pihak gereja Katholik berusaha mengekang pembaharuan, namun hari ini segala yang mereka takuti telah pun menjelma dalam rupa yang lebih ‘ganas’.

Mereka cuba menentang kritikan terhadap amalan mereka, hari ini di Barat, bukan sekadar amalan mereka, bahkan Tuhan pun dinafikan kewujudannya. Pada era 1880, ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzche telah mengistiharkan bahawa ‘God was dead’ (Tuhan telah mati). Walaupun 120 tahun kemudian agama terus hidup di dunia ini dan Tuhan terus dipuja, namun golongan atheist dan agnostic turut berkembang.

Usaha menolak kewujudan Tuhan terus berjalan dan mendapat sambutan yang besar di seluruh dunia. Richard Dawkins umpamanya, pada 2007 menerbitkan buku God Delusion atau penipuan Tuhan, buku yang menggambarkan bahawa tiada siapa yang boleh memberikan gambaran lengkap tentang agama yang sebenar.

Tulisannya ini menggalakkan golongan anti-agama dan bukunya mendapat sambutan yang hebat. Di Oxford yang dipenuhi dengan gereja dan segala kesan sejarah perkembangan Kristian, turut menjualnya.

Nama Tuhan digunakan

Menjadi masalah besar apabila nama Tuhan sering digunakan untuk kepentingan kuasa dan diri sendiri. Orang lain dihukum atas nama Tuhan, padahal kesalahan itu tidak membabitkan ajaran Tuhan. Akhirnya, Tuhan disalah ertikan dan agama dibenci.

Di Oxford, walaupun bangunan dan bayangan gereja mengelilinginya, amalan kehidupan agama sudah tipis. Pengajian dijalankan tanpa berkait lagi dengan nama Tuhan melainkan sedikit. Ataupun, Tuhan itu difahami dalam pelbagai versi yang tersendiri.

Menuduh orang murtad sebenarnya memerlukan penelitian dan bukti yang kukuh tanpa kepentingan dan fanatik. Menghalang orang lain memberikan pandangan dan pendapat atas nama Tuhan adalah perbuatan yang menjauhkan manusia dari agama. Itu bukan usaha menguatkan agama.

Islam adalah agama dialog dan hujah.

Ia bukan agama perhimpunan untuk membantah orang lain bersuara. Itu perbuatan gereja yang telah menghasilkan natijah yang buruk dan melahirkan sikap anti-agama. Menjerit di jalanan kerana kononnya ada orang murtad adalah tindakan yang tidak bijak.

Padahal Allah telah memberikan panduan agar Islam ditegakkan atas hujah dan dialog. Firman Allah (maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Menuduh orang lain murtad juga secara semberono hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh gereja Katholik. Natijahnya, lenyap kekuatan istana yang dipergunakan dan lenyap juga keyakinan manusia kepada agama itu sendiri. Apakah kita ingin mengulanginya?

cuplikan dari penulisan Dr MAZA.