Lencongan Sejarah : 1515

Telah aku beli novel ini dahulu. Aku hanya sempat membaca sebahagian dek kesibukan. Telah aku serahkan novel ini kepada seorang rakan namun terlupa kepada siapa. Kini, aku beli semula novel 1515 karya Faisal Tehrani untuk menyempurnakan pembacaan.

Sebuah novel fiksi sejarah yang menyingkap kembali era kejatuhan Empayar Islam Melaka yang menjadi pusat penyebaran ilmu di alam Nusantara ketika itu. Melalui perantara watak Adi Fimiyun yang berhubung entah bagaimana dengan oyangnya Nyemah Mulya wirawati Melaka.


DUA VERSI

Menariknya novel ini apabila Faisal membawakan dua sisi berbeza kedatangan Feringgi ke Alam Melayu. Kisah Melaka yang alah apabila diserang Feringgi dan Melaka yang diselamatkan oleh Nyemah Mulya dan membawa kepada kewujudan Kerajaan Melayu Islam Dinasti Mulya di Portugal.

Bukan sahaja menyingkap sejarah yang terzahir, malah melucutkan pemadaman sejarah oleh pihak penjajah.

FAKTOR KEJATUHAN

Kelalaian pemerintah yang tidak lagi berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar selain pengamalan maksiat oleh pemerintah membawa bencana besar untuk negeri berdaulat Melaka.

"Melaka nyanyuk kerana hiburan, zina, gejala sosial yang meruntuhkan dan itu semua menjadi tunjang kerajaan Melaka. Itulah yang menjerumuskan Melaka ke dalam kemusnahan. Jika Tuhan menghantar Genghiz Khan untuk menghukum kerajaan Abbasiyyah di Baghdad, begitulah Tuhan telah menghantarkan Albuquerque sebagai malaikat maut kepada Melaka"



Kejayaan Feringgi menakluk Goa tidak menyedarkan Sultan Mahmud sedikit pun untuk memperkuat benteng pertahanan negeri dari dinodai wizurai barat. Kecelaruan dalam menerima nasihat dari pembesar-pembesar negeri menjerat Sultan untuk mengambil langkah tidak bijak.

Nina Chattu merupakan sosok penting yang mendurjanakan negeri. Bak pancing memakan umpan, beliau merupakan posman yang bertanggungjawab menghubungkan Ruy de Araujo dengan wizurai Albuquerque menerangkan selok belok keadaan Melaka.

ANGKATAN PERANG NUSANTARA

Idea yang tak terfikir oleh orang Melayu ketika itu dan tak terlaksana sehingga kini untuk menubuhkan angkatan perang Nusantara. Alam Melayu yang luas dan berbilang kerajaan ketika itu bukan sahaja dihubungkan dengan bangsa, malah turut dikuatkan dengan Aqidah yang sama.

Tun Nyemah Sayyidah Mulya mengemparkan istana dengan cadangan gila menubuhkan angkatan perang Nusantara untuk menakluki Portugal.

"Sebelum dia mulai lebih molek kita sendiri pergi ke sana menunjuk muka dan memesan supaya hapuskan sahaja hasrat hati kerana bangsa yang diam di Tanah Melayu ini meski sopan baik berjiwa besar dan boleh menakluk dunia"


SIAP SIAGA

Nyemah diajar ilmu agama malah turut dihantar ke Makkah untuk mendalaminya. Sesudah itu diajar pula ilmu silat dengan pelbagai disiplin sehingga mahir akan semuanya. Keluarga Mulya turut membina rumah besar di puncak Bukit Peringgit. Rumah itu kelak menjadi madarasah mendidik anak-anak muda akan ilmu agama dan ilmu persilatan.

Anak-anak ajah dibeli oleh batin-batin sakai, diternak di kaki Bukit Peringgit dan diberi makan secukupnya agar gajah kelak menjadi gemuk dan kuat bertahan dari apa-apa serangan.

HARGAI ANAK MUDA

Sifat pribumi Melayu feudal ke masyarakat jelas masih gagal menerima peranan anak muda yang besar kebolehannya. Dalam perbualan Nyemah dan Albuquerque, caesar timur itu mendedahkan kesempitan pemikiran masyarakat melayu yang mengenepikan peranan orang muda seperti Nyemah.

"Orang Melayu Nyemah, bangsa yang bijak tapi mereka tidak menggunakan akal dan mereka tak melihat kemampuan dan bakat yang ada pada anak muda. Mereka fikir orang tua seperti tua, lebih lama lebih sedap, tapi aku fikir orang muda seperti kelapa muda, banyak guna."

Namun sehingga kini, anak muda masih dianggap tidak matang dan tidak boleh memimpin. Sekatan demi sekatan dibuat bagi menghalang anak muda bersuara. Anak muda bebas untuk berhibur asalkan tidak menggangu pemerintah.

Panod
Jenderam Hulu
29 Januari 2012- 4.00am

Comments

No responses to “Lencongan Sejarah : 1515”

Catat Ulasan