Said Ibrahim Mufti Yang Tegas




Said Ibrahim merupakan seorang ulama’ nusantara yang disegani. Beliau pernah mengajar di pondok Tok Kenali Kelantan, madrasah al- Hidayah Singapura dan Sekolah Menengah Arab Hasanal Bolkiah Brunei selain menjadi Imam Masjid Negara dan Mufti di negeri Sabah.

Beliau dilahirkan di Kampung Kedai Lalat, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di pondok di Jambi Indonesia. Kemudian beliau merantau jauh ke Kota suci Makkah al-Mukarramah untuk mendalami ilmu agama.


Pelaksanaan Hudud

Dalam sebuah forum sambutan Hari Hudud di Kota Bharu, Haji Said telah menempelak golongan yang memberi alasan akan berlaku huru hara sekiranya dilaksanakan Hudud dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Beliau berkata “Ini bukan alasan tetapi andaian kerana mengatakan sesuatu yang belum terjadi. Jangan buat andaian dan agak-agak terhadap hukum Islam”

Beliau menyifatkan keadaan ini berlaku sebagai kejayaan orang Kristian melemahkan umat Islam melalui pengalaman melalui kekalahan mereka dalam perang Salib selama lebih 190 tahun.

“Akibatnya kita dapati orang Melayu Islam takut tersilap apabila menjalankan rukun solat, puasa dan haji tetapi apabila disuruh leksanakan hudud mereka berani sekali menentang,” tegas Haji Said.

Memerangi Golongan Antihadis

Setelah penerbitan buku Hadith Suatu Penilaian Semula oleh Kassim Ahmad pada tahun 1986, Haji Said yang mengakui kesarjanaan Kassim Ahmad namun menolak hujah beliau terhadap hadis dan sunah telah menulis sebuah buku kerana baginya dalam amalan dan adab kesarjanaan hujah mesti disambut dengan hujah, buku dengan buku.

Buku Said berjudul Penolakan Terhadap Penilaian Semula Hadis diterbitkan pada 1987. Beliau telah mempertahankan pentafsiran Imam Syafie berkenaan perkataan “al-Hikmah” dalam al-Quran (2/29) sebagai hadis dan sunah selain menerangkan konsep al-Rasul dalam ayat ke-4 surah al-Hasyr yang didakwa Kasim sebagai sekadar pembawa risalah.

Menangani Gejala Murtad

Sikap Haji Said terhadap gejala murtad dapat di lihat dengan jelas dalam bukunya yang bertajuk Kitab Kanun Jinayah Syari’yah. Menurut beliau, sebarang perkataan yang jelas membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) terhadap orang yang mengucapkannya. Beliau berhujah dengan firman Allah:

قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَہۡزِءُونَ (٦٥) لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَـٰنِكُمۡ‌ۚ

Maksudnya:
Petutkah nama Allah dan ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), (kerana) seseungguhnya kemu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman... [at-Taubah:65-66]

Haji Said amat sedar bahawa menyekat mereka yang murtad daripada mencabut status keislaman mereka dalam kad pengenalan bukanlah sesuatu yang berkesan dalam menghadapi golongan ini malah kejayaan yang sebenar adalah dengan mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara redha dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.

Pengiktirafan

Beliau telah dilantik menjadi Karyawan Tamu di Fakulti Pengajian Islam UKM (1992-93) dan di sana beliau telah menjiapkan beberapa penyelidikan antaranya Dasar Pembinaan Hukum Islam; Mazhab yang muktabar; Kanun Jenayah Sya’riah dan Sistem Pengadilannya Dalam Islam.

Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan Haji Said Ijazah Sarjana Kehormat Pengajian Islam dalam majlis konvokesyen ke-29 universiti itu pada bulan Ogos 2001. Tidak lama selepas itu beliau jatuh sakit. Beliau telah mewasiatkan keseluruhan 527 buah buku terdiri daripada koleksi kitab-kitab dan bukunya ke Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM.

Haji Said meninggal dunia pada 1.10 pada 22 Disember 2001 dan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Ibu Kota pada hari yang sama.

Panod
Jenderam Hulu
19 Januari 2012 - 4.30am

Comments

No responses to “Said Ibrahim Mufti Yang Tegas”

Catat Ulasan