
Malam tadi saya telah ditanya mengenai kematian seorang mahasiswa tahun satu di UTM oleh seorang sahabat dari sekolah lama. Pada mulanya saya fikir kes yang diajukan itu adalah berkaitan kematian seorang mahasiswi yang mati ketika bersalin di Kolej 9, UTM Skudai. Namun agak menghairankan apabila sahabat tersebut menyatakan bahawa yang meninggal itu bukan seorang mahasiswi, tetapi seorang mahasiswa. Malah, lebih mengejutkan lagi apabila beliau menyatakan mahasiswa tersebut adalah mahasiswa tahun satu yang baru mendaftar.
Saya cuba mendapatkan kepastian mengenai berita tersebut. Saya meminta sahabat tersebut menyatakan sumber maklumat beliau. Dan beliau menyatakan sumber berita diperolehi melalui facebook. Perbicaraan kami terhenti di situ kerana saya sudah mula merasa mengantuk.
Hari ini, saya telah melayari blog PMIUTM dan saya terbaca berita mengenai kes tersebut yang disampaikan oleh promahasiswautmkl melalui sistem aplikasi Cbox. Di sini saya lampirkan berita sebenar kes kematian mahasiswa UTMKL itu.
_____________________________________________________________________
KUALA Lumpur, 13 Julai (Pro-M.blog) - Seorang pelajar tahun pertama yang berasal dari Kluang, Johor maut di tempat kejadian akibat terjatuh dari tingkat empat di blok C, Kolej Kediaman Siswa Jaya UTM Kuala Lumpur. Kejadian yang menimpa pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) itu berlaku dalam pukul 12.50 pagi tadi.
Punca kejadian adalah kerana mangsa cuba memasuki biliknya yang berkunci melalui tingkap. Mangsa mengambil langkah memanjat dinding bilik air antara biliknya dan bilik "toiletmate" untuk keluar ke ruang disebelah luar tingkap yang tidak berdinding. Bunyi yang kuat mengejutkan penghuni kolej yang berdekatan.
Mangsa tidak dapat diselamatkan apabila bahagian kepala mangsa pecah akibat terjatuh di atas lantai simin gelanggang badminton. Mangsa telah dibawa pulang dan selamat di kebumikan di Kluang hari ini. Kemalangan ini merupakan kes yang pertama di Kolej Kediaman Siswa Jaya.
_____________________________________________________________________
p/s:Terima kasih kepada saudari Nadhiatul Farahain atas maklumat berita tersebut.

Comments
No responses to “Mahasiswa UTMKL Maut Jatuh Tingkat Empat”
Catat Ulasan