Solat Hajat, Satu Permulaan

(16 April 2009)

Skudai-
Satu majlis solat hajat telah berlangsung di ruang pameran 1, B03, FAB UTM. Majlis anjuran bersama pelajar tahun 1 senibina dan perancang bandar dan wilayah ini telah dihadiri kira-kira 50 orang Mahasiswa termasuk seorang pensyarah kursus senibina.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah, solat hajat secara berjemaah, pengisian dari pensyarah, solat isyak secara berjemaah dan seterus selawat.

Pengisian antara maghrib isyak telah diberikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar, pensyarah kursus senibina, Fakulti Alam Bina. Dalam pengisian tersebut, beliau telah berkongsi pengalaman beliau mengharungi hidup yang sibuk sebagai seorang mahasiswa senibina dan pada masa yang sama menjaga peribadi sebagai seorang muslim.

Beliau menyatakan bahawa hidup sebagai seorang mahasiswa merupakan waktu yang paling sesuai untuk membuat persediaan bagi menghadapi hidup yang lebih mencabar selepas belajar.

Selain itu, beliau juga turut memuji usaha yang dijalankan seperti Majlis Solat Hajat ini kerana dianggap sebagai satu langkah permulaan yang baik bagi meneruskan aktiviti-aktiviti yang berbentuk keagamaan yang juga sebagai pengisian rohani yang diperlukan oleh setiap mahasiswa.

Dalam pengisian tersebut juga beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang insan, kita harus memberi makanan yang cukup untuk tiga fakulti yang ada dalam diri kita iaitu ilmu rohani, jasmani dan ilmu pengetahuan.

Di akhir pengisian beliau berharap agar majlis sebegini dapat diteruskan dan tidak hanya terhenti buat malam ini.

Comments

No responses to “Solat Hajat, Satu Permulaan”

Catat Ulasan