Islam dalam Kebudayaan Melayu?

 

Umat Melayu sememang sudah terikat dengan Islam. Semenjak kehadiran pedagang-pedagang Arab ke Alam Melayu yang membawa bersama ajaran Islam kepada masyarakat Melayu selain pengukuhan melalui Artikel 160 Perlembagaan Malaysia.

Kebudayaan melayu sememangnya banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam. Syed Hussein Alatas menegaskan bahawa Islam dan Kebudayaan Melayu ada tiga macam hubungan. Pertama perpaduan antara Islam dan Kebudayaan Melayu, sebagai contoh sifat gotong-royong, sopan-santun, menghormat-menghormati ibu-bapa, amanah, bela-kawan, jujur, suka berbudi, menghormati jiran, dan sebagainya. Mereka ini merupakan nilai-nilai umum kemanusiaan. Kedua adanya hubungan yang neutral, tidak bertentangan dan tidak juga sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Contohnya upacara bersanding dalam perkahwinan. Ketiga adanya unsur-unsur yang bertentangan.




Proses asimilasi Islam terhadap budaya bangsa berlaku secara berperingkat. Pertama sekali di masyarakat Arab pada kurun ke-7 Masihi. Mula-mula dengan lahirnya Islam, terjadi suatu pemberontakan terhadap masyarakat dan kebudayaan Arab jahiliah. Sesudah itu terjadi pula suatu percampuran dan perpaduan antara Islam dan unsur-unsur kebudayaan Arab yang tidak ditolak oleh Islam hingga susahlah pada masa sekarang kita mengasingkan msyarakat Arab dari agama Islam. Demikian juga proses ini telah berlaku dalam sejarah kebudayaan Melayu.

TAAT RAJA, DERHAKA TUHAN

Apabila diamati pada buku Sejarah Melayu maka dapatlah kita sedari akan unsur-unsur tidak sihat dalam persaudaraan umat Melayu ketika itu. Penulisan Sejarah Melayu dilihat lebih menggagungkan Kerajaan Melaka berbanding negeri-negeri lain. Nilai taat setia kepada Raja Melaka terlalu dititik beratkan berbanding penghormatan kepada raja lain.


Dengan mengambil contoh peristiwa Tun Teja Ratna Benggal yang telah ditunangkan dengan Sultan Pahang dan tersebarnya kisah kecantikan beliau hingga ke Melaka. Sultan Mahmud mula tertarik lalu Hang Nadim menggunakan jalan tipu-daya dan pujukan berhasil melarikan Tun Teja dari Pahang dan diserahkan kepada Raja Melaka Sultan Mahmud. Lantaran itu dianugerah kepada Hang Nadim banyak emas dan perak sebagai penghargaan.

Perbuatan Hang Nadim itu, dan banyak lagi peristiwa sekitar melarikan Tun Teja, termasuk matinya beberapa orang, semuanya itu dianggap oleh penulis Sejarah Melayu sebagai bahan-bahan untuk meninggikan Kerajaan Sultan dari Melaka. Sikap demikian adalah sikap rendah tamadun.

Dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah taat-setia kepada raja sangat dititik-beratkan. Tujuan perbuatan taat itu tidak diambil berat. Taat yang demikian ini adalah taat seekor haiwan terhadap yang memeliharanya.


Sebagai contoh peristiwa Tun Dewi. Pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah seorang perempuan bernama Tun Dewi. Kebetulan terdapat pada malam itu Tun Ali, sedang mengunjungi Tun Dewi tadi. Maka setelah itu Sultan memberi sirih kepada Tun Isak yang ikut mengiring baginda. Pemberian sirih ini pada masa itu dianggap sebagai suatu penghargaan, suatu tanda bahawa ada diharap oleh baginda. Maka Tun Isak pun kembali ke rumah Tun Dewi dan ditikamnya Tun Ali, yang tengah duduk, didadanya hingga mati. Akhirnya Tun Isak pula dibunuh oleh Seri Dewa Raja, seorang pembesar yang sangat dikasihi oleh Sultan Mahmud dan yang ada hubungan kekeluargaan dengan Tun Ali.

Kejadian-kejadian yang demikian ini membesarkan unsur taat pada tujuan yang sebenarnya bersifat derhaka terhadap Tuhan, taat itu ditujukan pada seorang raja yang tidak adil serta tiada mempunyai sifat perikemanusiaan, seorang yang membunuh rakyatnya sebagaimana membunuh lalat, seorang raja tidak menghormati ajaran-ajaran agama, yang tidak menghormati isteri rakyatnya. Sikap taat buta yang terdapat dalam fikiran Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, tidak sesuai dengan sejarah Islam, tidak sesuai dengan faham demokrasi yang sejati.

PEMBERSIHAN SEJARAH

Dengan mengecam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, tidak sedikit pun saya mahu merendahkan martabat kebudayaan Melayu malah sebaliknya perlu dibersihkan jalan sejarah ini daripada unsur-unsur yang kotor dan tidak senonoh.

Selain daripada sumber-sumber ini, perlulah juga dilihat akan sumber-sumber lain dalam membincangkan perihal kebudayaan Melayu ini agar tidaklah kita terlalu berbangga akan segala kekotoran yang telah dilakukan.


Semasa Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu terserlah. Undang-undang Islam dijadikan sebagai undang-undang negeri dimana Baginda telah menyusun pentadbiran mahkamah, menggubal Undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Negeri.

Dalam masa pemerintahan, Baginda juga telah membuat Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamai akan dia Itqaanul Muluk bit Ta’dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:

Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.

Walaupun terpaksa menerima kehadiran pihak British, Sultan Zainal Abidin III bertegas dengan prinsip dan keputusannya sehingga Sir John Anderson, bersetuju dengan draf perjanjian yang secara keseluruhan dirangka semula oleh baginda.

MEMBAJA KEBUDAYAAN MELAYU ISLAM

Seperti juga pokok, kebudayaan itu perlu diberi baja, perlu dibersihkan dari lalang-lalang yang ikut memakan baja disekitar pokok itu, perlu kena sinar matahari. Dalam sejarah selalu kita saksikan berubah dan tumbuhnya kebudayaan disebabkan oleh agama. Bangkit dan meluasnya kebudayaan Arab pada kurun ke-7 Masihi dan seterusnya, disebabkan oleh Islam. Begitu juga kebudayaan Eropah atas kemasukan agama Nasrani.

Dalam agama Islam raja tidak berhak melarang pertumbuhan pemikiran dalam masyarakatnya ataupun memaksakan pendapat-pendapat, peraturan-peraturan yang melanggar dasar-dasar Islam.

Imam Ahmad ibn Hanbal telah menentang sikap Khalifah al-Ma’mun yang ingin mamaksa mazhabnya atas diri Imam Ahmad, sehingga beliau dipenjara dan dipukul. Demikian juga Abu Hanifah yang pernah dipenjara, dipukul dan dirantai oleh Khalifah al-Mansur kerana tidak setuju dijadikan qadi di Baghdad.

Jelas sekali bahawa tugas alim ulama dan pimpinan masyarakat Islam adalah pertama sekali memberi nasihat-nasihat yang semestinya kepada raja-raja Melayu agar dapat raja-raja kita menjalankan tugasnya yang sebenarnya, sebagai pembela dan pemelihara adat istiadat Melayu dan agama Islam.

MENGHORMATI BANGSA LAIN

Dalam sejarah Islam, raja yang pertama menolong pelarian-pelarian Islam ialah raja Kristian dari Habsyah.

Di tahun 628 Masihi, tahun 6 Hijrah, Nabi Muhammad s.a.w telah mengadakan perjanjian persahabatan dengan rahib-rahib Kristian di gunung Sinai di mana orang-orang Islam diwajibkan mempertahankan, memelihara dan membantu mereka dalam segala kesusahan, termasuk jika perlu membetulkan gereja mereka. Dari pihak mereka, mereka membayar jizyah dan bayaran ini dilarang diberat-beratkan. Selamanya kita tidak dihina, dihalau dari rumah, diseksa, dilarang beribadat, diserang terlebih dahulu, kita umat Islam diwajibkan hidup bersama dan berbuat baik dengan mereka yang bukan Islam.

Umar Abdul Aziz pernah menyebut "sesiapa yang menyakiti hati zimmi maka mereka telah menyakiti hatiku juga" sedangkan baginda Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda "barangsiapa yang menzalimi Mu’ahid (non Muslim), atau mengurangkan haknya, atau membebankan kepadanya luar dari kemampuannya, maka akhirat nanti aku akan penghujjah untuknya  (non Muslim itu)"


PENUTUP 

Islam berkehendakkan anggota-anggota masyarakat yang merasa sedih jika kesusahan menimpa masyarakatnya yang lain, yang sangat menghormati hak mereka yang berkekurangan, dan menyayangi mereka seperti menyayangi diri mereka sendiri.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:



لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يَبِيْتُ وَجَارُهُ إِلَى جَنْبِهِ جَائِعٌ

Ertinya: “Bukanlah seorang yang beriman seorang yang boleh tidur malam, sedangkan jiran di sebelahnya kelaparan”. Hadis riwayat al-Hakim dan beliau menganggapnya sohih dan diakui oleh Az-Zahabi.

    Tujuan dan sifat-sifat demikianlah yang patut dihidupkan dalam hidup kebudayaan kita. Jika sifat-sifat demikian mempengaruhi masyarakat Melayu nescaya umat Melayu baru akan tampil kegelanggang sejarah dunia dengan penuh harapan serta penghargaan daripada masyarakat-masyarakat lainnya di tanah air kita. Sebaliknya jika unsur-unsur feudal yang sempit dan rendah tamadun itu dibesar-besarkan maka dengan sendirinya penghargaan umum terhadap masyarakat Melayu akan merosot.



Panod
Jenderam Hulu
2 Februari 2012 - 5.15am 



rujukan: 

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 1990. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Muhammad Naquib al-Atas,1981. Islam dan Sekularisme. terjemahan Karsidjo Djojosoewarno , Bandung, Penerbit Pustaka 

Syed Hussein Alatas, Kertas kerja Islam dan Kebudayaan Melayu, Seminar Peradaban Islam sa-Malaysia 15-17 Julai 1967, Kolej Islam, Petaling Jaya. 

A. Samad Ahmad (ed.), 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur,  Dewan Bahasa dan Pustaka,

Kassim Ahmad, Noriah Mohamed, 2008. Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur,  DBP

Nik Muhammad Nasri Nik Malek, 2011. 100 Tahun Memartabat Islam di Terengganu, http://www.niknasri.com/?p=9653 

Wan Ji Wan Husin, 2012. Satu Kisah di Gereja, http://g-82.blogspot.com/2012/01/satu-kisah-di-gereja.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Artikel_160_Perlembagaan_Malaysia

Comments

No responses to “Islam dalam Kebudayaan Melayu?”

Catat Ulasan